Wednesday, August 18, 2010

RIWAYAT KETURUNAN SITI ESAH BERHIJRAH KE KG. GUMUT. KALUMPANG BERSUAMIKAN TUAN IMAM HJ. SALEH HJ. ZAINUDDIN SALAH SEORANG PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG

Siti Esah adalah berketurunan Rao yang berasal dari Kg. Ulu Atok, Raub Pahang yang berkaum kerabat dengan keluarga Panglima Garang di Kg. Ulu Atok. Beliau dan keluarganya berhijrah ke Hulu Bernam (Tg. Malim) lalu ke Kg. Gumut Kalumpang. Ada satu peristiwa penghijrahan Siti Esah ialah diketahui beliau adalah seorang perempuan yang sangat cantik pada masa itu di mana D.Y.M.M Sultan Pahang berkenan menjadikan Siti Esah salah satu daripada isteri baginda.

Untuk mengelakkan dari diburu oleh Sultan, keluarga Siti Esah membuat keputusan berhijrah ke Bernam (Tg. Malim) dan pada masa itu Bernam atau Tg. Malim adalah di bawah pemerintahan Penghulu Tua Tun Hj. Mustapha Bin Raja Kamala. Siti Esah berkahwin dengan Sirun (suami pertama) dan Sirun adalah kaum kerabat Tun Hj. Mustapha . Mereka dinikahkan di suatu tempat bernama ‘Dusun Kerikir’ iaitu sebuah dusun buah-buahan di pinggir Sg. Bernam yang masih ada pada hari ini. Hasil perkahwinan tersebut beliau dikurniakan seorang putera yang bernama Hj. Abd. Rashid dan Hj. Abd. Rashid telah menjadi Orang Kaya Kalumpang bergelar Dato’ Dagang Kalumpang yang dikurniakan oleh D.Y.M.M Sultan Selangor pada zaman tersebut.

Diketahui anak Siti Esah Dato’ Dagang Hj. Abd. Rashid berkahwin dengan Sawiyah iaitu anak Imamluddin salah seorang pengasas Kg. Gumut Kalumpang. Diketahui juga Imamluddin itu adalah salah seorang menantu Tun Hj. Mustapha Raja Kamala, Penghulu pertama Tg. Malim. Kemudian, Siti Esah bercerai dengan Sirun dan berkahwin dengan seorang yang bernama Muhammad dan dikurniakan seorang putera yang diberi nama Md. Aris. Md. Aris berkahwin dengan Sadariah dan mendapat empat orang anak. Salah seorang daripada anaknya ialah yang bernama Hj. Hamzah Salas A.M.N adalah matan Pengetua Institut Perguruan Sultan Idris Tg. Malim (sekarang UPSI). Beliau adalah salah seorang cicit Siti Esah.
Selepas itu, Siti Esah bercerai dengan Muhammad dan berkahwin dengan Imam Hj. Saleh Hj. Zainuddin salah seorang pengasas Kg. Gumut Kalumpang. Beliau mendapat beberapa orang anak dan salah seorang daripadanya ialah Tuan Imam Hj. Abdullah Sani Hj. Saleh telah menjadi seorang Kadi Daerah Hulu Selangor. Imam Hj. Abdullah Sani juga seorang guru agama dan guru Al-Quran serta merupakan imam kedua Masjid Attaqwa Kalumpang. Harap maklum Siti Esah mempunyai tiga suami dan mereka menetap di Kg. Gumut Kalumpang. Pada suatu ketika Siti Esah dibawa ke tanah suci Makkah oleh dua orang anaknya Md. Aris dan Hj. Abdullah Sani untuk menunaikan ibadah Haji dan dengan takdir Allah Siti Esah telah meninggal dan dikebumikan di Makkah.

Selain daripada itu, anak Siti Esah yang bernama Munah telah berkahwin dengan Imam Hj. Daud iaitu anak Imam Kuang atau Imam Bendahara salah seorang yang mengasas Kg. Kalumpang, Kalumpang. Jadi, Siti Esah dan Imam Hj. Saleh berbesan dengan Imam Kuang. Kecantikan Siti Esah dan kehebatan keturunannya amatlah dihargai dan dihormati serta disayangi juga dikasihi oleh penduduk Kg. Gumut Kalumpang pada masa itu kerana kecantikan paras rupa dan baik budi bahasanya. Penghijrahan Siti Esah dari Kg. Ulu Atok, Raub Pahang adalah satu kenangan pahit dan manis oleh penduduk Atok dan Kalumpang pada zaman itu disebabkan kecantikan beliau yang tiada tolok bandingnya.
Rujukan:
1. Allahyarhamah Hjh. Badariah Hj. Omar (isteri kedua Dato’ Dagang Hj.
Abd. Rashid)
2. Allahyarham Y.B Sulaiman Shahabudin (Bekas ADUN Tras, Raub –
merupakan cucu Panglima Garang, Kg. Ulu Atok berkaum kerabat dengan
Siti Esah.)
3. Husin Hj. Abdullah Sani (cucu Siti Esah suami ketiga)
4. Allahyarham Jamaludin Hj. Daud (cucu Siti Esah suami ketiga)
5. Umi Kalthum Othman (cicit Siti Esah suami ketiga (Imam Hj. Saleh)
berkahwin dengan Dzulkifli Buyong (cicit Panglima Kanan)

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

No comments:

Post a Comment