Wednesday, August 18, 2010

RIWAYAT KETURUNAN IMAMLUDDIN (HJ. SHAHABUDIN) BIN RAJA GEMALA MEMBUKA KALUMPANG DAN PERSEMENDAAN DENGAN KELUARGA TUN HJ. MUSTAPHA BIN RAJA KAMALA

Imamluddin atau nama sebenarnya Hj. Shahabudin adalah salah seorang pengasas Kg, Gumut Kalumpang yang datang dari Bernam atau Tg. Malim lalu membuka Kalumpang bersama-sama Panglima Kanan dan pengasas-pengasas yang lain.
Beliau berasal dari Nagori Kota Raja, Rao, Kecematan Rao, Kabupaten Pasaman Sumatera Barat, Sumatera, Indonesia. Beliau ialah orang yang mula-mula melampan bijih timah di tempat yang bernam Sg. Tuntung yang berhampiran dengan perkuburan lama Kalumpang yang masih ada dipanggil ‘KUBAH’. Beliau juga orang yang mula-mula kaya di Kalumpang hingga sampai di Tg. Malim yang tiada tolok bandingnya pada zaman tersebut.
Beliau dipanggil Imamluddin kerana kealimannya dan juga kekayaannya. Diriwayatkan juga, salah seorang anaknya yang bernama Sawiyah telah berkahwin dengan Tuan Hj. Abd. Rashid bin Sirun yang telah menjadi orang Kaya Kalumpang digelar Datuk Dagang Hj. Abd. Rashid. Beliau telah dianugerahkan gelaran Datuk Dagang Kalumpang oleh DYMM Sultan Selangor pada zaman tersebut. Dalam pada itu anak Imamluddin yang bernama Lawiyah pula berkahwin dengan Penghulu Hj. Mohd Daud Sidek salah seorang penghulu Tg. Malim selepas zaman Tun Hj. Mustapha bin Raja Kamala di mana Imamluddin juga merupakan salah seorang menantu Tun Hj. Mustapha.

Penghulu Hj. Mohd Daud Sidek menantu Imamluddin juga menjadi Orang Kaya Tg. Malim dan ada sebuah jalan di Pekan Tg. Malim diberi nama Jalan Penghulu Hj. Mohd Daud. Memandangkan Lawiyah anak Imamluddin tidak mempunyai zuriat, Penghulu Hj. Mohd daud mewakafkan harta Lawiyah dengan mendirikan sebuah madrasah di Kg. Gumut Kalumpang yang diberi nama Madrasatul Daudiah sempena atas namanya dan tanah tersebut diandaikan nama isterinya . (Riwayat Allahyarham HJ. Abd. Aziz Hj. Abd Rashid anak saudara Lawiyah).
Selain daripada itu, setelah kematian isteri tua Imamluddin yang bernama Raini, Imamluddin berkahwin pula dengan anak Penghulu Tun Hj. Mustapha yang bernama Lelo dan mendapat seorang anak yang bernama Sabariah, dan Sabariah berkahwin dengan Abd. Aziz juga kaum kerabat Tun Hj. Mustapha. Kekayaan Imamluddin di Tg. Malim, beliau memiliki banyak tanah di Tg. Malim antaranya di tempat yang bernama Cangkat Asa di Hulu Bernam (seberang Selangor). Di Kampung Gumut Kalumpang, banyak tanah beliau diagihkan kepada anak cucunya.
Disinilah Imamluddin jadi tersohor dan diriwayatkan juga Imamluddin pernah mencari bijih timah di Raub, Pahang dan tinggal di Sempalit berhampiran dengan pekan Raub. Beliau kembali ke Kalumpang setelah didapati tiada bijih timah di Raub.(Riwyat Allahyarham Hj. Abdullah bin Hj. Salam, anak Panglima Kanan Kalumpang yang sama-sama mencari bijih timah bersama Imamluddin di Raub). Untuk pengetahuan andaian yang sahih ada mengatakan, separuh tanah di Tg. Malim yang ada sekarang asalnya adalah harta Imamluddin yang masih lagi menjadi tanda tanya samada warisnya akan menuntut atau dibiarkan menjadi milik kerajaan negeri Perak.(Diriwayatkan Azmi Mokhtar-cicit Imamluddin)

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Imamluddin merupakan Orang kaya yang ulung di Kalumpang dan Tg. Malim pada zaman tersebut di mana Sejarah Tg. Malim tidak ditulis atas kemasyhurannya. Pusara (Kubur) Imamluddin terletak di Perkuburan Lama Kalumpang bernama Kubah.

Rujukan:
1. Allahyarham Hj. Abdullah Hj. Salam (anak Panglima Kanan)
2. Ahmad Gusi Kadir (Cicit Imamluddin)
3. Azmi Mokhtar (cicit Imamluddin dari isteri kedua)

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
26/11/2007

No comments:

Post a Comment