Monday, October 4, 2010

TOKOH ANAK KALUMPANG – ALMARHUM CIKGU ADNAN BIN HJ. ABD. HALIM J.P

Siapa yang tidak kenal dengan Cikgu Adnan sila angkat tangan. Nampaknya ramai yang kenal dengan Cikgu Adnan iaitu anak jati Kalumpang yang mudah mesra, peramah, jujur dan dihormati ramai. Dilahirkan pada l4hb. Oktober 1927, Tuan Haji Mohd. Adnan bin Haji Abdul Halim PJK., PPN., JP., telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kalumpang sehingga ke darjah tujuh. Pada 1hb. Oktober 1946 beliau telah menjadi Guru Pelatih di Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Kuala Selangor.

            Setelah dua tahun menjadi Guru Pelatih, Cikgu Adnan telah memasuki Sultan Idris Training College di Tanjung Malim sehingga ke tahun 1950. Apabila tamat di S.I.T.C., Cikgu Adnan telah mengajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam. Pada tahun 1953 hingga ke tahun 1957 pula Cikgu Adnan telah bertugas di Sekolah Kebangsaan Asam Jawa, Kuala Selangor.

            Dalam tahun 1958 Cikgu Adnan telah melanjutkan pelajarannya selama setahun di Language Institute, Bukit Senyum, Johor Baharu sebagai Guru Bahasa Kedua (Bahasa Kebangsaan). Pada tahun 1959 hingga ke bulan Mei 1965 Cikgu Adnan telah mengajar di Sekolah Inggeris Kuala Kubu Bharu iaitu sebagai Guru Bahasa Kedua. Dalam bulan Mei 1965, Cikgu Adnan telah dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu. Dalam tahun 1968 Cikgu Adnan telah dipilih menjadi Instructor di University of Hawaii U.S.A. dan beliau telah diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Malaysia kepada bakal-bakal guru Ilmu Hisab dan Sains iaitu Sukarelawan Amerika yang akan mengajar pelajaran tersebut di Malaysia.

Pada tahun 1969 - 1979, Cikgu Adnan kembali bertugas sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu. Di samping itu pada tiap tiap bulan bulan Jun hingga ke bulan Disember iaitu dari tahun 1969 hingga ke tahun 1974, Cikgu Adnan telah memegang satu tugas lagi iaitu sebagai penyelaras projek bagi latihan sukarelawan di dalam Malaysia. Latihan-latihan ini telah diadakan di beberapa tempat di Malaysia seperti di Cameron Highlands, Kota Bharu, Pulau Pinang. Pulau Pangkor dan juga di Kuala Lumpur.

Dalam tahun 1980 iaitu selama enam bulan, Cikgu Adnan telah dilantik menjadi Guru Besar Sckolah Kebangsaan Kalumpang. Dari bulan Jun 1980 hingga ke bulan Jun 1982 beliau telah ditawar menjadi Penyelia Sekolah Menengah di Jabatan Pelajaran Selangor. Pada bulan Julai 1982 Cikgu Adnan telah bertukar ke Jabatan Pelajaran Daerah Hulu Selangor sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Rendah. Pada 14hb Oktober 1982 Cikgu Adnan telah bersara dari perkhidmatannya. Oleh kerana jasa dan khidmat yang telah dianugerahkan sebagai ‘TOKOH GURU NEGERI SELANGOR’ pada tahun tersebut.

            Rezeki di tangan Tuhan dan kalau benih yang baik campak walau di mana pun akan tumbuh. Begitulah dengan Cikgu Adnan iaitu pada l hb. Januari 1983 telah dilantik menjadi Kaunselor/Penasihat Pelajaran di Asrama-Asrama Yayasan Selangor, hinggalah ke suatu ketika. Sebagai seorang yang berkebolehan memimpin Cikgu Adnan sentiasa diberi kepercayaan untuk memikul tugas di dalam persatuan atau pertubuhan-pertubuhan. Sebagai contoh di bawah ini disenaraikan kegiatan-kegiatan yang diceburi oleh beliau.

1. Pernah menjadi Naib Ketua dan Setiausaha UMNO Cawangan Kuala Kubu  
    Bharu dan pada masa ini menjadi Pengerusi tetap di cawangan tersebut.
2. Menjadi Setiausaha Majlis Pusat Kebajikan Malaysia Cawangan Hulu
    Selangor hingga sekarang (1986).
3. Pernah menjadi Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Anak Kalumpang
    (1970).
4. Menjadi Ahli Persatuan Guru-Guru Malaysia Barat dan menjadi ahli seumur
    hidup Persatuan Suluh Budiman.
5. Pernah menjadi AhIi Lembaga Pelawat Rumah Sakit Daerah Kuala Kubu
    Bharu dan Ahli Jawatankuasa Masjid Daerah Kuala Kubu Bharu.
6. Menjadi Setiausaha PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu
    Bharu dari tahun 1966 - 1979 juga Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah
    Seri Puteri, Kuala Lumpur dari tahun 1978 - 1981 dan Yang Dipertua
    Sekolah Menengah Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur dari tahun 1985
    hingga sekarang.
           
            Tokoh kita ini telah pun dianugerahkan pingat PJK dalam tahun 1978 dan JP dalam tahun 1981 oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor. D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Di pertuan Agong pula telah menganugerahkan pingat PPN kepada Cikgu Adnan dalam tahu 1979.

            Cikgu Adnan telah berumahtangga pada l3hb. Septem ber 1953 dengan Puan Hajah Zaiton Bt. Samsudin. Mempunyai empat orang cahaya mata iaitu tiga perempuan dan satu lelaki. Isteri beliau sekarang adalah merupakan Penyelia Kemas Kawasan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Cikgu Adnan adalah Tokoh Anak Kalumpang dan ‘SUKA BERKHIDMAT’ adalah motto hidup beliau.

Susur galur Cikgu Adnan b Abdul Halim cicit Panglima Kiri salah seorang pengasas Kalumpang, juga berasal dari Rao Mapat Tunggul.

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
26/11/2007

RIWAYAT KETURUNAN ALMARHUM NAWI RAJA MULOK YANG MENJADI PEMIMPIN



Almarhum Nawi Raja Mulok adalah salah seorang peneroka yang membuka Kalumpang, bersama Panglima Kanan, Panglima Kiri dan lain-lain. Anak almarhum ialah Almarhum Hj. Nordin Nawi JP merupakan bekas Pegawai Polis dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang pertama bagi kawasan Kalumpang atau Hulu Bernam daerah Hulu Selangor. Almarhum juga adalah bekas nazir pertama Masjid Attaqwa Kalumpang.

          Anak Almarhum Hj Nordin ialah Datuk Hj. Zainal Abidin bin Hj. Nordin (cucu), YDP Persaka sekarang. Beliau ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Tanah. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

          Dua orang anak Almarhum Hj. Nordin yang lain ialah Baharuddin Hj. Nordin (cucu), bekas guru dan bekas Pengarah MAS. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai latihan FELDA. Manakala Shahruddin Hj. Nordin (cucu) pernah bertugas sebagai Pengurus Bank Bumiputra Bhd.

          Cikgu Mazlan adalah cicit kepada Almarhum Nawi. Beliau adalah Setiausaha Kehormat Persaka sekarang dan pernah bertugas sebagai Pengurus Besar Yayasan Pendidikan Hulu Selangor. Cikgu Mazlan juga pernah bertugas sebagai Pendaftar Universiti Industri Selangor, Bekas Pengurus Pendidikan Yayasan Selangor dan juga bekas pensyarah di IPSI (UPSI). Selain itu beliau juga pernah menerima anugerah Belia Negara 1993.

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
26/11/2007

RIWAYAT KETURUNAN PANGLIMA BESAR MUHAMMAD PENGASAS KG. BUKIT KALUMPANG


Panglima Besar Muhammad adalah salah seorang pengasas Kg. Bukit Kalumpang yang berasal dari Batu Bara Sumatera. Beliau datang dari Sg. Ujung (Seremban) Negeri Sembilan berhijrah ke Kalumpang setelah kalah melawan British dalam mempertahankan Negeri Sembilan. Beliau juga bersama-sama Panglima Kanan dan Panglima Kiri Kalumpang mempertahankan Kubu di Gumut yang juga merupakan Kubu di bawah jagaan beliau  dan Kg. Kubu Tg. Malim yang diketuai oleh Penghulu Tua Tun Hj. Mustapha Raja Kamala masa peperangan mempertahankan Bernam (Perang Bernam- Raub). Kubu Panglima Besar adalah di kawasan Stesyen Keretapi Lama Gumut yang telah ditinggalkan. Kawasan tersebut adalah kawasan Sg. Cincin berhampiran dengan Kg. Bukit yang telah ditinggalkan juga.

          Pada masa ini kawasan Kubu Panglima Besar sudah pun menjadi Taman Perumahan yang diberi nama Tempua Bestari. Anak beliau Hajah Hasnah atau dianggil Timbun adalah seorang bidan kampung yang tersohor. Dalam pada itu cicit beliau yang bernama Abd. Manap Mohd Nor adalah Matan Kapten Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia. Selain itu, cicit beliau juga iaitu Zakaria Ibrahim adalah diketahui salah seorang Pengarah FRIM, Kepong, Kuala Lumpur dan cicit beliau yang lain yang bernama Allahyarhamah Cikgu Shamsiah Ibrahim adalah Matan Ketua Wanita UMNO Kalumpang di suatu ketika dahulu.

Rujukan:
1. Allahyarham Pak Jurin (Ibrahim- cucu Panglima Besar)


Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

RIWAYAT KETURUNAN PANGLIMA KIRI PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG


Panglima Kiri juga bernama Tabuan, Taib dan Tahil (Riwayat Allahyarham Hj. Abdullah Hj. Salam- anak Panglima Kanan) adalah salah seorang    pengasas Kg. Gumut Kalumpang. Beliau juga bersama-sama Panglima Kanan dan Panglima Besar mempertahankan kubu Panglima Besar di Gumut dan Kg. Kubu Tg. Malim yang diketuai oleh Penghulu Tua Tun Hj. Mustapha Raja Kamala masa peperangan mempertahankan Bernam (Perang Bernam- Raub). Beliau juga disebut orang-orang tua dahulu sebagai penjaga yang menjaga Tg. Malim (Riwayat Allahyarham Pak Jurin (Ibrahim)- salah seorang cucu Panglima Besar). Anak beliau Tuan Hj. Kassim Tabuan adalah Ketua Kg. Gumut yang pertama. Hj. Kassim membuka kebun tanaman getah yang dikenali juga sebagai “ Malay Reserve” di Sg. Sabai yang keluasannya lebih kurang tiga ribu ekar untuk penduduk Kalumpang.(Rujuk Makalah Persatuan Sejarah Hulu Selangor Bahagian Kalumpang karangan Allahyarham Cikgu Ruslan Ibrahim PJK- cucu Imam Kuang Pengasas Kg. Kalumpang).

          Salah seorang cicit Panglima Kiri yang bernama Hj. Abd. Wahab Jahidin adalah bekas tentera dan Matan Setiausaha Masjid Attaqwa Kalumpang dan juga seorang usahawan yang berjaya. Selain itu, cicit beliau yang lain yang bernama Ishak Yusof adalah Matan Kapten Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia.

Rujukan:
1. Allahyarham Pak Jurin (Ibrahim) – cucu Panglima Besar Muhammad.
2. Daripada Perpustakaan Awam Kuala Kubu Bharu (Petikan daripada Buku
    Sejarah Hulu Selangor karangan Cikgu Ruslan Ibrahim PJK)


Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

RIWAYAT KETURUNAN SUTAN NASIN PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG



Sutan Nasin adalah salah seorang pengasas Kg. Gumut Kalumpang berasal dari Minangkabau Sumatera Barat. Beliau berhijrah ke Kalumpang setelah membuka Kg. Simpang Empat Lama Tg. Malim (riwayat Allahyarhamah Hjh. Aminah – Anak Sutan Nasin). Sutan Nasin kembali ke Rahmatullah dan dikebumikan di Kg. Sempalit, Raub, Pahang.

          Cucu beliau Tuan Hj. Mat Tamin  Hj. Mat Sari adalah matan Imam Masjid kalumpang dan lama belajar di Mesir. Juga cucu beliau, Tuan Hj. Mohd Sani Hj. Mat Sari adalah matan Bendahari Masjid Kalumpang. Beliau adalah bekas polis berpangkat Sarjan dan pernah berkhidmat pada masa darurat di Tras, Dong, Raub, Pahang dan juga di Prai, Pulau Pinang.

          Dalam pada itu, cicit beliau Datin Paduka Hjh. Zaitun Shamsudin adalah matan Pegawai Kemas hulu Selangor (penyelia) dan juga matan Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor. Selain daripada itu, Ridzuan Shamsudin adalah matan Lt. Kol Bersara berkhidmat dalam pasukan Askar Melayu DiRaja Malaysia adalah cicit Sutan Nasin yang terserlah.


Rujukan:
1. Allahyarhamah Hjh. Aminah Sutan Nasin

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

Wednesday, August 18, 2010

TOKOH ANAK KALUMPANG- ALLAHYARHAM PENGHULU HJ. MOHD DAUD SIDEK PENGHULU TG. MALIM (MENANTU IMAMLUDIN PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG)

Allahyarham Penghulu Hj. Mohd Daud Sidek adalah seorang penghulu dari Tg. Malim yang ada jasanya di Kalumpang. Beliau berkahwin dengan anak Imamludin yang bernama Lawiyah tetapi tidak mempunyai zuriat. Kemudian beliau berkahwin dengan orang Pulau Pinang dan dikurniakan zuriat setelah meninggal isteri tuanya. Anak-anak beliau dengan isteri keduanya:

1. Azmil
2. Azizah
3. Khalid
4. Rusli
5. Dato’ Adlan
6. Pn. Sri Zainun
7. DLL

Jasa beliau telah mewakafkan surau Kg. Gumut yang diberi nama ‘Madrasatul Daudiah’ yang masih ada orang yang beribadah pada hari ini. Nama madrasah itu sempena dengan namanya dan diandaikan tapak madrasah itu atas nama isterinya yang pertama itu (Diriwayatkan oleh Allahyarham Tuan Hj. Abd. Aziz Hj. Abd. Rashid anak saudara Lawiyah). Penghulu Hj. Mohd Daud Sidek digelar Orang Kaya Tg. Malim dan salah satu nama jalan Tg. Malim dinamakan sempena nama beliau iaitu ‘ Jalan Penghulu Hj. Mohd Daud’ dan ada lorong di kawasan Hulu Bernam (Tg. Malim) dinamakan Lorong Hj. Mohd Daud.

Dalam pada itu, beliau ada mempunyai sebuah bangunan berhampiran Sg. Bernam di seberang kawasan Selangor Tg. Malim diberi nama ‘Bangunan Mohd. Daud’. Diandaikan juga harta isteri pertamanya Lawiyah itulah yang diwakafkan Madrasatul Daudiah yang masih lagi digunakan bukan sahaja tempat beribadah bahkan untuk kegunaan penduduk Kg. Gumut dalam hal-hal lain seperti kenduri kendara, mesyuarat dan juga digunakan sebagai markas pengawal kampung semasa darurat. Jasa penghulu Hj. Mohd Daud tetap dikenang oleh penduduk Kg. Gumut Kalumpang buat selama-lamanya.


Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

TOKOH ANAK KALUMPANG – GURU BERJASA KALUMPANG CIKGU RUSLAN IBRAHIM P.J.K

Allahyarham Cikgu Ruslan Ibrahim PJK adalah matan guru pelawat Sekolah Melayu Hulu Selangor pada zamannya. Beliau sahajalah yang mengarang ‘ Sejarah Kalumpang’ yang didapati dalam makalah Sejarah Kg. Kalumpang di dalam Buku Sejarah Hulu Selangor di Perpustakaan Awam Kuala Kubu Bharu. Beliau menjadi guru pelawat Sekolah Melayu Hulu Selangor tahun 1959-1969 dan Daerah Sabak Bernam pada tahun 1958-1959 sahaja dan beliau bersara awal 1970.

Beliau pernah menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Latihan Kalumpang sehingga tahun 1956. Jasa beliau banyak menolong anak Kalumpang masuk ke maktab SITC (UPSI) untuk menjadi guru. Pada hari tua, beliau telah menjadi Nazir Masjid Attaqwa Kalumpang. Beliau selalu dalam syarahannya membahasakan dirinya sebagai ‘Bapa Kalumpang’. Beliau adalah seorang guru yang penyabar dan baik tutur bahasanya. Beliau suka menolong menyelesaikan masalah orang kampung yang dalam kesusahan. Beliau juga adalah salah seorang cucu Imam Kuang yang mengasas Kg. Kalumpang di Pekan Kalumpang masa pembukaan Kalumpang dahulu. Jasa beliau tetap dikenang penduduk Kalumpang.


Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong
C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860