Monday, October 4, 2010

TOKOH ANAK KALUMPANG – ALMARHUM CIKGU ADNAN BIN HJ. ABD. HALIM J.P

Siapa yang tidak kenal dengan Cikgu Adnan sila angkat tangan. Nampaknya ramai yang kenal dengan Cikgu Adnan iaitu anak jati Kalumpang yang mudah mesra, peramah, jujur dan dihormati ramai. Dilahirkan pada l4hb. Oktober 1927, Tuan Haji Mohd. Adnan bin Haji Abdul Halim PJK., PPN., JP., telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kalumpang sehingga ke darjah tujuh. Pada 1hb. Oktober 1946 beliau telah menjadi Guru Pelatih di Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, Kuala Selangor.

            Setelah dua tahun menjadi Guru Pelatih, Cikgu Adnan telah memasuki Sultan Idris Training College di Tanjung Malim sehingga ke tahun 1950. Apabila tamat di S.I.T.C., Cikgu Adnan telah mengajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam. Pada tahun 1953 hingga ke tahun 1957 pula Cikgu Adnan telah bertugas di Sekolah Kebangsaan Asam Jawa, Kuala Selangor.

            Dalam tahun 1958 Cikgu Adnan telah melanjutkan pelajarannya selama setahun di Language Institute, Bukit Senyum, Johor Baharu sebagai Guru Bahasa Kedua (Bahasa Kebangsaan). Pada tahun 1959 hingga ke bulan Mei 1965 Cikgu Adnan telah mengajar di Sekolah Inggeris Kuala Kubu Bharu iaitu sebagai Guru Bahasa Kedua. Dalam bulan Mei 1965, Cikgu Adnan telah dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu. Dalam tahun 1968 Cikgu Adnan telah dipilih menjadi Instructor di University of Hawaii U.S.A. dan beliau telah diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Malaysia kepada bakal-bakal guru Ilmu Hisab dan Sains iaitu Sukarelawan Amerika yang akan mengajar pelajaran tersebut di Malaysia.

Pada tahun 1969 - 1979, Cikgu Adnan kembali bertugas sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu. Di samping itu pada tiap tiap bulan bulan Jun hingga ke bulan Disember iaitu dari tahun 1969 hingga ke tahun 1974, Cikgu Adnan telah memegang satu tugas lagi iaitu sebagai penyelaras projek bagi latihan sukarelawan di dalam Malaysia. Latihan-latihan ini telah diadakan di beberapa tempat di Malaysia seperti di Cameron Highlands, Kota Bharu, Pulau Pinang. Pulau Pangkor dan juga di Kuala Lumpur.

Dalam tahun 1980 iaitu selama enam bulan, Cikgu Adnan telah dilantik menjadi Guru Besar Sckolah Kebangsaan Kalumpang. Dari bulan Jun 1980 hingga ke bulan Jun 1982 beliau telah ditawar menjadi Penyelia Sekolah Menengah di Jabatan Pelajaran Selangor. Pada bulan Julai 1982 Cikgu Adnan telah bertukar ke Jabatan Pelajaran Daerah Hulu Selangor sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Rendah. Pada 14hb Oktober 1982 Cikgu Adnan telah bersara dari perkhidmatannya. Oleh kerana jasa dan khidmat yang telah dianugerahkan sebagai ‘TOKOH GURU NEGERI SELANGOR’ pada tahun tersebut.

            Rezeki di tangan Tuhan dan kalau benih yang baik campak walau di mana pun akan tumbuh. Begitulah dengan Cikgu Adnan iaitu pada l hb. Januari 1983 telah dilantik menjadi Kaunselor/Penasihat Pelajaran di Asrama-Asrama Yayasan Selangor, hinggalah ke suatu ketika. Sebagai seorang yang berkebolehan memimpin Cikgu Adnan sentiasa diberi kepercayaan untuk memikul tugas di dalam persatuan atau pertubuhan-pertubuhan. Sebagai contoh di bawah ini disenaraikan kegiatan-kegiatan yang diceburi oleh beliau.

1. Pernah menjadi Naib Ketua dan Setiausaha UMNO Cawangan Kuala Kubu  
    Bharu dan pada masa ini menjadi Pengerusi tetap di cawangan tersebut.
2. Menjadi Setiausaha Majlis Pusat Kebajikan Malaysia Cawangan Hulu
    Selangor hingga sekarang (1986).
3. Pernah menjadi Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Anak Kalumpang
    (1970).
4. Menjadi Ahli Persatuan Guru-Guru Malaysia Barat dan menjadi ahli seumur
    hidup Persatuan Suluh Budiman.
5. Pernah menjadi AhIi Lembaga Pelawat Rumah Sakit Daerah Kuala Kubu
    Bharu dan Ahli Jawatankuasa Masjid Daerah Kuala Kubu Bharu.
6. Menjadi Setiausaha PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu
    Bharu dari tahun 1966 - 1979 juga Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah
    Seri Puteri, Kuala Lumpur dari tahun 1978 - 1981 dan Yang Dipertua
    Sekolah Menengah Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur dari tahun 1985
    hingga sekarang.
           
            Tokoh kita ini telah pun dianugerahkan pingat PJK dalam tahun 1978 dan JP dalam tahun 1981 oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor. D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Di pertuan Agong pula telah menganugerahkan pingat PPN kepada Cikgu Adnan dalam tahu 1979.

            Cikgu Adnan telah berumahtangga pada l3hb. Septem ber 1953 dengan Puan Hajah Zaiton Bt. Samsudin. Mempunyai empat orang cahaya mata iaitu tiga perempuan dan satu lelaki. Isteri beliau sekarang adalah merupakan Penyelia Kemas Kawasan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Cikgu Adnan adalah Tokoh Anak Kalumpang dan ‘SUKA BERKHIDMAT’ adalah motto hidup beliau.

Susur galur Cikgu Adnan b Abdul Halim cicit Panglima Kiri salah seorang pengasas Kalumpang, juga berasal dari Rao Mapat Tunggul.

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
26/11/2007

No comments:

Post a Comment