Saturday, February 27, 2010

Tokoh Cikgu Mohd Amin Hj. Omar




Cikgu Mohd Amin Hj. Omar
Ainon Bt. Mohd Amin ( Anak Sulung Cikgu Mohd Amin)


TOKOH ANAK KALUMPANG – ALLAHYARHAM CIKGU MOHD AMIN TERSERLAH BERKAITAN DENGAN KETURUNAN IMAMLUDDIN PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG
Cikgu Mohd Amin Bin Hj. Omar dilahirkan di Kg. Lundar Rao Kecematan Panti, Kabupaten Pasaman Sumatera Barat, Sumatera. Pada masa kecil, beliau dan adiknya Hjh. Badariah Hj. Omar berhijrah ke kalumpang bersama bapanya Hj. Omar Bin Penghulu Suku (Bergelar Raja Melano) dan ibunya bernama Juriah Pendita Malim.
Cikgu Mohd Amin dibesarkan di Kalumpang dan beliau adalah anak Kalumpang yang pertama menjadi guru pada zamannya. Beliau berkelulusan Maktab Perguruan Melaka sebelum tahun 1922 (Maktab tersebut dipindahkan kemudian di SITC Tg. Malim tahun 1922). Cikgu Mohd Amin adalah anak Kalumpang yang pertama menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Kalumpang pada zaman tersebut. Sekolah Melayu Kalumpang didirikan dengan rasminya pada tahun 1889 yang telah pun berusia lebih 100 tahun. Sekarang sekolah tersebut telah pun dipindahkan ke Kg. Titiwangsa Kalumpang sekitar tahun 70-an ke bangunan baru yang kini menjadi Sekolah Kebangsaaan Kalumpang. Dalam pada itu, Cikgu Mohd. Amin menjadi Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaaan Kuala Kubu Bharu dan pernah menjadi guru pelawat (nazir sekolah) dan juga pernah menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Sabak Bernam, Selangor.
Beliau juga banyak menolong anak Kalumpang menjadi guru dimasukkan ke Maktab SITC Tg. Malim pada zaman tersebut. Akhirnya beliau menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Kg. Batu Jalan Ipoh Kuala Lumpur di mana ia merupakan sekolah terakhir beliau mengajar sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 1948. Untuk pengetahuan Cikgu Mohd Amin Hj. Omar mempunyai dua orang isteri , isteri pertama bernama Siti Esah Hj. Abas (cucu kepada Hj. Siun yang berada di Rao Nagori Kota Rajo) manakala isteri keduanya (bermadu) bernama Ramlah Binti Anjang di mana ibu Ramlah bernama Rogayah adalah anak Imamludin salah seorang yang mengasas Kg. Gumut Kalumpang. Di sinilah perkaitan Cikgu Mohd Amin dengan keturunan Imamludin.
Dalam pada itu, beliau juga beripar dengan salah seorang menantu Imamludin yang bernama Hj. Abd. Rashid Sirun yang bergelar Dato’ Dagang Kalumpang di mana Isteri beliau adalah adinda Cikgu Mohd Amin. Selain daripada itu, anak Cikgu Mohd Amin yang bernama Saadiah pernah berkahwin dengan Datuk DiRaja Hj. Buyong Bin Hj. Abdullah matan Ketua Pengarah Telekom Malaysia (Datuk DiRaja Hj. Buyong adalah salah seorang cucu Panglima Kanan Hj. Salam Ketua Pengasas Kalumpang). Anak Cikgu Mohd Amin Saadiah mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya dengan Datuk DiRaja Hj. Buyong yang bernama Dzulkifli Bin Datuk Hj. Buyong.
Apabila selang beberapa tahun, Saadiah bercerai dengan Datuk Hj. Buyong. Dalam masa 5 tahun kemudian, Saadiah berkahwin dengan Sulaiman Shahabudin matan ADUN Tras, Raub Pahang pada zaman tersebut. Cikgu Mohd Amin adalah seorang guru yang bijak dan suka menolong orang Kalumpang yang dalam kesusahan. Jasa beliau banyak menolong anak Kalumpang terutama dalam hal pendidikan tetap dikenang hingga kini. Beliau meninggal pada usia yang terlalu muda sekitar umur 48 tahun pada tahun 1948 dan dikebumikan di Perkuburan Lama Kalumpang bernama Kubah.

Nota:
1) Cerita ini sahih berupa riwayat di mana Cikgu Mohd. Amin Hj. Omar adalah guru yang terserlah tiada bandingnya pada suatu masa di Kalumpang. Atas jasa beliaulah banyak melahirkan para pendidik dari kalangan anak Kalumpang hingga pada masa kini masih ada anak Kalumpang yang menjadi pendidik sehinggakan ada yang pernah menjadi Pengetua Maktab Perguruan, Pensyarah universiti dan ada juga yang terpilih menjadi pensyarah di Universiti Brunei Darussalam.
2) Kalumpang tersohor pada zaman silamnya oleh kerana banyak melahirkan golongan pendidik (guru) terutamanya dari Kg. Gumut penghuni asal yang membuka Kalumpang dan terkenal dengan hasil buminya iaitu bijih timah di mana ada di kalangan orang Kalumpang menjadi kaya raya seperti Imamludin pengasas Kg. Gumut Kalumpang yang pernah melampan bijih timah di Sg. Tuntung hingga menjadi Orang Kaya Ulung Kalumpang dan Tg. Malim.Amin.
Nota:
1) Dzulkifli Datuk Hj. Buyong adalah cucu Cikgu Mohd Amin Hj. Omar dengan isteri pertama Siti Esah Bt. Hj. Abas nasab sebelah ibu dan cicit Panglima Kanan (Ketua Pengasas Kalumpang) nasab sebelah bapa.
Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong
C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

No comments:

Post a Comment