Saturday, February 27, 2010

Tokoh Datuk Buyong Bin Hj. Abdullah


Keluarga Datuk Hj. Buyong bergambar bersama keluarga Hjh. Khamsiah Binti Abdullah
(Cucu-cicit Panglima Kanan Hj. Salam Kalumpang)



Keluarga Hj. Abdullah Bin Hj. Salam ( Anak Panglima Kanan Kalumpang )
Hjh. Sa'adiah Bt. Mohd. Amin ( Bekas isteri pertama Dato' Hj. Buyong)



TOKOH ANAK KALUMPANG – ALMARHUM DATUK HJ. BUYONG BIN HJ. ABDULLAH JSM (AR-RAwI)
Almarhum Datuk hj. Buyong bin Abdullah JSM dilahirkan di Kg. Gumut Kalumpang pada 6/10/1920. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kalumpang pada zamannya iaitu sebelum pemerintahan Jepun di Malaya.

Beliau melanjutkan pelajarannya di Batu road School, Kuala Lumpur, kemudian ke Sekolah Maxwell dan akhir sekali di Victoria Institution. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Technical College Kuala Lumpur, disamping itu beliau bekerja di Jabatan Telekom sebagai Juruteknik. Pada 1949, beliau menerima biasiswa “ Queen’s Scholarship” untuk mengambil kursus kejuruteraan di Telecommunication College London. Beliau kembali ke Malaysia setelah menyempurnakan pelajarannya selama 3 tahun 8 bulan iaitu pada 1954.

Beliau bertugas di Jabatan Telekom Kuala Lumpur sebagai Assistant Controller. Beliau pernah berkhidmat di Bukit Mertajam, Seremban, Kuantan dan Ipoh. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Controller Telekom dan Pengarah Telekom. Sebelum bersara, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Telekom Malaysia dan antaranya telah melancarkan Stesen Satelit Telekom di Kuantan, Pahang untuk memudahkan perhubungan telefon Malaysia ke peringkat antarabangsa. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Sewaktu beliau menjadi Pengarah Perancangan Jabatan Telekom, beliau telah dianugerahkan bintang Johan Setia Mahkota oleh DYMM Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Beliau bersara sebagai Ketua Pengarah Telekom pada 1976.

Setelah bersara, beliau dianugerahkan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abd. Aziz Shah dengan gelaran Datuk Mangku Bumi Selangor yang membawa makna Datuk Diraja Selangor. Beliau kembali ke Rahmatullah pada 10 Ogos 1987. Datuk Diraja Hj. Buyong adalah salah seorang cucu Panglima Kanan yang membuka Kalumpang. Beliau merupakan anak pertama Kalumpang yang menjadi Jurutera dan merupakan salah seorang penaung Persatuan Anak Kalumpang. Jasa beliau semasa hayatnya sentiasa menjadi kenangan kepada penduduk Kalumpang, kerana ramai anak Kalumpang diambil bekerja di Jabatan Telekom Malaysia. Beliau merupakan seorang yang peramah, mudah mesra dan sentiasa bertegur sapa terutamanya dengan orang Kalumpang. Beliau juga seorang yang jujur, lemah lembut tutur bahasanya dan sangat dihormati oleh sesiapa sahaja. Datuk Diraja Hj Buyong juga merupakan anak Melayu pertama berjaya sebagai Electrical Engineer pada zaman sebelum merdeka. Beliau juga anak Kalumpang yang pertama menjadi jurutera.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki Dzulkifli Buyong (dengan isteri pertamanya Saadiah bte Mohd Amin- berpisah) dan tiga orang anak lagi iaitu Ezani Hamzah, Ahmad Zaini dan Aida Fitri (dengan isteri keduanya Datin Hjh Rahmah bte Hamzah).


Sumbangan oleh:


Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,

Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,

68100 Batu Caves, Selangor.

H/P- 012 9725860

Unyang Mohd. Amin dan Sahabatnya



Perkahwinan Datuk Hj. Buyong

Sam. Silsilah Rao Kg. Lundar Kuamang.

Tokoh Cikgu Mohd Amin Hj. Omar




Cikgu Mohd Amin Hj. Omar
Ainon Bt. Mohd Amin ( Anak Sulung Cikgu Mohd Amin)


TOKOH ANAK KALUMPANG – ALLAHYARHAM CIKGU MOHD AMIN TERSERLAH BERKAITAN DENGAN KETURUNAN IMAMLUDDIN PENGASAS KG. GUMUT KALUMPANG
Cikgu Mohd Amin Bin Hj. Omar dilahirkan di Kg. Lundar Rao Kecematan Panti, Kabupaten Pasaman Sumatera Barat, Sumatera. Pada masa kecil, beliau dan adiknya Hjh. Badariah Hj. Omar berhijrah ke kalumpang bersama bapanya Hj. Omar Bin Penghulu Suku (Bergelar Raja Melano) dan ibunya bernama Juriah Pendita Malim.
Cikgu Mohd Amin dibesarkan di Kalumpang dan beliau adalah anak Kalumpang yang pertama menjadi guru pada zamannya. Beliau berkelulusan Maktab Perguruan Melaka sebelum tahun 1922 (Maktab tersebut dipindahkan kemudian di SITC Tg. Malim tahun 1922). Cikgu Mohd Amin adalah anak Kalumpang yang pertama menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Kalumpang pada zaman tersebut. Sekolah Melayu Kalumpang didirikan dengan rasminya pada tahun 1889 yang telah pun berusia lebih 100 tahun. Sekarang sekolah tersebut telah pun dipindahkan ke Kg. Titiwangsa Kalumpang sekitar tahun 70-an ke bangunan baru yang kini menjadi Sekolah Kebangsaaan Kalumpang. Dalam pada itu, Cikgu Mohd. Amin menjadi Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaaan Kuala Kubu Bharu dan pernah menjadi guru pelawat (nazir sekolah) dan juga pernah menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Sabak Bernam, Selangor.
Beliau juga banyak menolong anak Kalumpang menjadi guru dimasukkan ke Maktab SITC Tg. Malim pada zaman tersebut. Akhirnya beliau menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Kg. Batu Jalan Ipoh Kuala Lumpur di mana ia merupakan sekolah terakhir beliau mengajar sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 1948. Untuk pengetahuan Cikgu Mohd Amin Hj. Omar mempunyai dua orang isteri , isteri pertama bernama Siti Esah Hj. Abas (cucu kepada Hj. Siun yang berada di Rao Nagori Kota Rajo) manakala isteri keduanya (bermadu) bernama Ramlah Binti Anjang di mana ibu Ramlah bernama Rogayah adalah anak Imamludin salah seorang yang mengasas Kg. Gumut Kalumpang. Di sinilah perkaitan Cikgu Mohd Amin dengan keturunan Imamludin.
Dalam pada itu, beliau juga beripar dengan salah seorang menantu Imamludin yang bernama Hj. Abd. Rashid Sirun yang bergelar Dato’ Dagang Kalumpang di mana Isteri beliau adalah adinda Cikgu Mohd Amin. Selain daripada itu, anak Cikgu Mohd Amin yang bernama Saadiah pernah berkahwin dengan Datuk DiRaja Hj. Buyong Bin Hj. Abdullah matan Ketua Pengarah Telekom Malaysia (Datuk DiRaja Hj. Buyong adalah salah seorang cucu Panglima Kanan Hj. Salam Ketua Pengasas Kalumpang). Anak Cikgu Mohd Amin Saadiah mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya dengan Datuk DiRaja Hj. Buyong yang bernama Dzulkifli Bin Datuk Hj. Buyong.
Apabila selang beberapa tahun, Saadiah bercerai dengan Datuk Hj. Buyong. Dalam masa 5 tahun kemudian, Saadiah berkahwin dengan Sulaiman Shahabudin matan ADUN Tras, Raub Pahang pada zaman tersebut. Cikgu Mohd Amin adalah seorang guru yang bijak dan suka menolong orang Kalumpang yang dalam kesusahan. Jasa beliau banyak menolong anak Kalumpang terutama dalam hal pendidikan tetap dikenang hingga kini. Beliau meninggal pada usia yang terlalu muda sekitar umur 48 tahun pada tahun 1948 dan dikebumikan di Perkuburan Lama Kalumpang bernama Kubah.

Nota:
1) Cerita ini sahih berupa riwayat di mana Cikgu Mohd. Amin Hj. Omar adalah guru yang terserlah tiada bandingnya pada suatu masa di Kalumpang. Atas jasa beliaulah banyak melahirkan para pendidik dari kalangan anak Kalumpang hingga pada masa kini masih ada anak Kalumpang yang menjadi pendidik sehinggakan ada yang pernah menjadi Pengetua Maktab Perguruan, Pensyarah universiti dan ada juga yang terpilih menjadi pensyarah di Universiti Brunei Darussalam.
2) Kalumpang tersohor pada zaman silamnya oleh kerana banyak melahirkan golongan pendidik (guru) terutamanya dari Kg. Gumut penghuni asal yang membuka Kalumpang dan terkenal dengan hasil buminya iaitu bijih timah di mana ada di kalangan orang Kalumpang menjadi kaya raya seperti Imamludin pengasas Kg. Gumut Kalumpang yang pernah melampan bijih timah di Sg. Tuntung hingga menjadi Orang Kaya Ulung Kalumpang dan Tg. Malim.Amin.
Nota:
1) Dzulkifli Datuk Hj. Buyong adalah cucu Cikgu Mohd Amin Hj. Omar dengan isteri pertama Siti Esah Bt. Hj. Abas nasab sebelah ibu dan cicit Panglima Kanan (Ketua Pengasas Kalumpang) nasab sebelah bapa.
Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong
C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860

Silsilah Keturunan suku rao kg. Lundar Kuamang

Keturunan Panglima Kanan

KETURUNAN PANGLIMA KANAN ATAU HJ. SALAM BIN DATUK BERKANUN
KETUA PENGASAS KALUMPANG

Panglima Kanan atau Hj. Salam Bin Datuk Berkanun adalah orang yang bertanggungjawab membuka kalumpang dalam tahun 1883 atau sebelumnya. Beliau dilantik menjadi assistant Penghulu Bernam atau Tg. Malim pada zaman tersebut di mana Kalumpang adalah di bawah pemerintahan Bernam dan penghulunya ialah Hj. Mustapha bin Raja Kamala.
Anak Panglima Kanan iaitu Tuan Hj. Mohd Yassin Affandi bin Hj. Salam (allahyarham) adalah anak Kalumpang yang pertama yang memegang jawatan Forest Ranger di Jabatan Hutan dan beliau juga anak Kelumpang yang pertama di hantar mengikuti kursus perhutanan di London pada waktu tersebut.
Juga cucu Panglima Kanan iaitu Yang Berbahagia Datuk Haji Buyong Haji Abdullah J.S.M (Allahyarham) adalah anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Telekom Malaysia dan juga Jurutera Melayu yang pertama yang dihantar ke London mengikuti kursus kejuruteraan di College Telecommunication London. Beliau bersara dalam tahun 1976 dan dianugerahkan Datuk DiRaja Mangku Bumi Selangor oleh D.Y.M.M Sultan Selangor.Beliau juga salah seorang penaung Persaka (Persatuan Anak Kalumpang).


Dalam pada itu cicit Panglima Kanan Allahyarham Tan Sri Datuk Hj. Shoib Hj. Ahmad adalah bekas ADUN kawasan Kalumpang atau Hulu Bernam dan juga Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau juga dilantik Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia dan bleiau juga merupakan salah seorang daripada penaung PERSAKA.
Selain daripada itu, cicit Panglima Kanan yang lain ialah Tuan Hj. Idrus bin Mohd Tahir adalah bekas Pengarah Kastam DiRaja Malaysia, Tuan Hj. Ahmad Hj. Mohd Tahir adalah bekas Pensyarah Universiti Putra Malaysia dan juga Universiti Brunei Darussalam. Tuan Hj. Abdul Shukor Hj. Mohd Tahir juga bekas Pensyarah Universiti Malaya dan Tuan Hj. Idris Hj. Mohd Yassin Affandi (cucu) adalah bekas Pensyarah UPSI.
Selain daripada itu, cicit beliau Datin Aznum Hussain adalah bekas Pengurus PKNS Selangor dan Tuan Hj. Hamzan Adil adalah bekas Pengurus Telekom Malaysia (AJK Persaka). Juga banyak lagi cucu-cicit dan piut Panglima Kanan yang berjawatan seperti Encik Hasrul Hashim salah seorang peguam dan lain-lain lagi yang tidak dapat dinyatakan.

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong

C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
26/11/2007

Riwayat Panglima Kanan




RIWAYAT PANGLIMA KANAN MEMBUKA KALUMPANG (1883)

Panglima Kanan adalah merupakan pengasas Kalumpang.
Beliau berasal dari Kampung Kota Raja, Rao Mapat Tunggul Kecamatan Rao, Kabupaten Pasaman Sumatra Barat. Beliaulah orang yang bertanggungjawab membuka Kalumpang pada tahun 1883 atau sebelumnya. Nama sebenar beliau ialah Hj. Salam Bin Datuk Berkanun. Beliau diberi gelaran Panglima Kanan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor (Sultan Muhamad) di zamannya kerana beliau telah dapat membunuh Panglima Pahang semasa perang Pahang-Selangor di suatu ketika dan juga telah dapat mengamankan perompak lanun di Sabak Bernam. Beliau adalah adik ipar kepada penghulu tua Tg. Malim iaitu Tun Haji Mustapha Bin Raja Kamala yang membuka Tg. Malim atau Bernam pada masa itu. Panglima Kanan menjadi assistant Penghulu Bernam dimana Tun Haji Mustapha menjadi Penghulu. Kalumpang pada masa itu adalah di bawah pemerintahan Bernam.
Panglima Kanan mempunyai seorang isteri yang bernama Hjh.Rahmah bt Hj Siun. Beliau diriwayatkan juga bersama Nawi bin Raja Mulok (orang Rao Pahang) bersama-sama membuka Kalumpang (diriwayatkan oleh Allahyarham Haji Abdullah bin haji Salam - anak Panglima Kanan). Diriwayatkan bahawa Panglima Kanan dengan pengikut-pengikutnya berhijrah dari Bernam sampai ke sebuah pokok yang besarnya lain dari yang lain, dan berehat di situ dan diketahui pokok tersebut bernama pokok Kalumpang. Dari nama pokok tersebut dinamakan Kalumpang yang ada pada hari ini.
Pokok tersebut berhampiran dengan pasar lama Kalumpang.
Diketahui pokok tersebut telah ditebang pada tahun 30-an. Panglima Kanan juga orang yang mula-mula mendirikan rumahnya iaitu di tapak pasar lama Kalumpang yang berdindingkan pelupoh dan beratapkan daun rumbia. Pada suatu ketika, rumah Panglima Kanan dijadikan rumah pasong dan rumah pasong hanya didirikan oleh pemerintah pada tahun 1888. Panglima Kanan juga yang bertanggungjawab membawa orang Cina dari Sekinchan dan daerah-daerah lain di negeri Selangor untuk melombong bijih timah di Kalumpang.
Dalam pada itu beliau juga pengasas Kg.Gumut dengan pengasas-pengasas yang lain dan beliau juga mempunyai dusun durian yang agak luas lebih kurang 12 ekar di Sejantung dan diibaratkan oleh orang gajah boleh mati kalau lalu disitu bila gugur buah duriannya yang bagitu banyak dan merimbun.
Panglima kanan juga telah sama-sama mempertahankan Bernam semasa perang Raub-Bernam dan perang Raub-Gumut bersama-sama Panglima Besar dan Panglima kiri Kalumnpang serta pengikut-pengikutnya. Kubu perang utama ialah kubu di Gumut iaitu kubu Panglima Besar yang terletak di kawasan stesyen keretapi Gumut. Dahsyat perang di Gumut itu dan anak isteri semuanya berkubu di Tg.Malim atau Bernam.
Akhirnya Panglima Kanan dan pengikut-pengikutnya hanya dapat mempertahankan Kg. Kubu iaitu kubu yang terakhir yang diketuai oleh Penghulu Tun Haji Mustapha di Bernam atau Tg.Malim dan mereka dapat menewaskan tentera Raub. Selepas peristiwa ini tiada lagi peperangan dengan Raub hinggalah ke hari ini. Semasa perang Inggris-Pahang, Panglima Kanan bersama pendekar Ulung Kalumpang iaitu Khatib Yunus membantu Mat Kilau menentang Inggeris akan tetapi mereka berundur setelah Inggeris dapat menakluki Pahang.
Diriwayatkan Panglima Kanan dengan pengikutnya memakan buah hutan untuk pengisi perut dalam peperangan itu di mana makanan sukar diperolehi.
Dalam perang saudara di Selangor, Panglima Kanan dan pengikut pengikutnya menjadi pengikut Syed Mashor yang membantu Raja Mahdi merebut takhta negeri Selangor melawan Sultan Abdul Samad tetapi tewas. Oleh hal yang demikian, Panglima Kanan ,Panglima Kiri dan Panglima Besar Kalumpang tidak dapat menjadi orang besar Selangor kerana mereka berpihak pada Raja Mahadi. Panglima Kanan meninggal dan dikebumikan di Sejantung. Pada suatu ketika kubur beliau dan kubur-kubur yang lain telah dialih dan dipindahkan ke suatu tempat yang bernama Kubah. Kubah itu berasal dari perkataan nama Gubah. Kubah itu adalah perkuburan lama Kalumpang yang masih ada pada hari ini.
Setelah Panglima Kanan meninggal dunia, seorang penghulu dikehendaki di Kalumpang. Anak-anak Panglima Kanan tidak mahu menggantikannya. Oleh itu, pemerintah Selangor telah menghantar seorang yang bernama Abdul Ghafar menjadi penghulu di Kalumpang menggantikan Panglima Kanan yang telah kembali ke rahmatullah. Abdul Ghafar adalah penghulu pertama Kalumpang yang berasal dari Batu Laut Selangor.
Adalah difahami setelah kematian Panglima Kanan, penghulu Kalumpang tidak lagi dilantik dari keturunan Kalumpang hinggalah ke hari ini.
Adalah diandaikan, jika diterima oleh anak-anak Panglima Kanan menjadi penghulu Kalumpang, mungkin turun-temurun hingga ke anak cucu cicitnya dan seterusnya dan mungkin juga pada anak Kalumpang jati yang lain menjadi penghulu yang ada pada hari ini.

Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong
C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
24/11/2007

Rujukan:

1. Allahyarham Haji Abdullah bin Hj.Salam(anak Panglima Kanan)
2. Allahyarhamah Hjh.Zabedah bte Hj. Salam(anak Panglima Kanan)
3. Allahyarhamah Hjh.Sabariah bte Md.Ali (cucu Panglima Kanan)
4. Allahyarhamah Hjh.Halimah bte Omar (cucu Panglima Kanan)
5. Buku Persatuan Sejarah Hulu Selangor (bahagian Kalumpang )
Karangan Allahyarham cikgu Ruslan bin Ibrahim, PJK
6. Arkib Negara/ www.jaro.com.my
 

(Nota: Tokoh-tokoh Kalumpang dalam blog ini adalah keturunan Hj. Siun dan persemendaannya di Kalumpang - Tg. Malim - Raub)

Tentang Penulis








Dzulkifli Buyong menerima cenderahati dari Tan Sri Dato' Shamsuddin sempena 10 tahun perkhidmatan cemerlang di Sapura Holdings Sdn. Bhd.




Diberi nama Dzulkifli Bin Datuk Buyong. Dilahirkan pada 21 Januari 1948 di Kg. Gumut, Kalumpang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kalumpang. Kemudian ke Methodist English School of Tg. Malim. Pada tahun 1962-1964, beliau ke Commercial Institute Kuala Lumpur dan seterusnya pada 1965 beliau melanjutkan pelajaran ke St. John's Institution. Beliau melanjutkan pelajarannya ke Cyma Collegue Kuala Lumpur dan akhirnya bekerja di Bank Bumiputra Malaysia Berhad pada 1970. Beliau berkahwin dengan Umi Kalthum Binti Othman dan dikurniakan oleh 3 orang anak. Sekarang Dzulkifli Bin Buyong menetap di Kg. Laksamana Batu Caves. (gambar dari kiri: Zainal, Amin, Luqman, Umi Kalthum, Dzulkifli)